Rumahtangga : Kenali Musibah Terbesar
Kita menangis kepenatan. Penat rupanya alam rumahtangga ni - ke sana
ke mari menjaga kebajikan suami dan anak. Bekerja di luar penat.
Bekerja di rumah juga penat.
Kita menangis berjauhan. Setelah halal dalam pernikahan, berjauhan pula. Kerana tuntutan kerja. Atau belajar.
Kita menangis tidak cukup wang. Terpaksa berhutang. Tidak mampu
bergembira macam pasangan lain. Makan minum malah bercatu. Terpaksa
duduk rumah saja tidak cukup duit untuk petrol.
Kita menangis kerana ujian mertua dan ipar duai yang menarik banyak privasi rumahtangga. Kita menangis tersepit antara keluarga sendiri dan keluarga pasangan.
Kita menangis kerana pasangan atau anak-anak diuji sakit kronik yang menuntut seribu satu pengorbanan.
Antara banyak-banyak ujian ini, jangan lupa berhati-hati dengan ujian keimanan.
Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan semakin
jauh dari hubungan dengan tuhan. Solat diabaikan. Akhlak dengan Allah
tidak dititikberatkan.
Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila islam hanya pada
nama dan kad pengenalan. Bukan pada rutin dan tujuan hidup seharian.
Sedangkan islam is a way of life.
Musibah terbesar sebuah perkahwinanan adalah apabila amalan-amalan
syirik dan khurafat menjadi pilihan. Percaya pada tangkal untuk memujuk
anak menangis, atau ramuan bomoh menundukkan suami.
Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan tahu akan
kewajipan menuruti Sunnah dan Quran, tapi terus selesa dalam kejahilan
dan kelalaian. Solat dilalaikan, pergaulan tanpa batasan, tiada
peruntukan masa dan kewangan untuk mencari ilmu agama, aurat didedahkan
besar-besaran, tidak amanah dalam pekerjaan.
Musibah terbesar sebuah perkahwinan ialah apabila suami isteri fokus
membeli rumah besar dan kereta besar namun rumah itu seperti kuburan
kerana jauh dari tilawah dan tadabbur Al Quran.
Bila rumahtangga diberi ujian kesenangan, adakah rasa bersyukur? Adakah kesenangan menambah ketaatan?
Bila seorang isteri dan ibu kurang ilmu kurang iman, nescaya akan
mencipta musibah yang besar untuk generasi mendatang. Menyiapkan pakaian
dan makan minum anak-anak, mengambil menghantar anak ke alam
persekolahan. Apakah pemberian kita untuk menyiapkan jiwa anak itu
melalui kehidupan dengan bertuhan? Anak-anak amat bijak mengukur
kehebatan dirinya dengan peperiksaan, adakah mereka tahu mengukur nilai
diri menurut Al Quran?
Musibah besar jika anak-anak kita tidak tahu hubungannya dengan
tuhan, tidak tahu apakah ertinya hakikat kehidupan. Solat ditinggalkan,
ibu bapa dibiarkan.
Ada suami dan anak-anak yang baik, adakah makin kenal dan cinta pada
Allah? Atau sekadar kenal kemahuan suami dan anak-anak? Atau sekadar
mengingati tanggungjawab kepada suami dan anak tanpa mengetahui
tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Sesungguhnya islam bukan sekadar adat kebiasaan. AL-Quran bukan
sekadar menjadi pelengkap dulang hantaran. Bukan sekadar tersimpan
tinggi di almari perhiasan.
Ayuh selamatkan diri dari musibah. Jalinkan hubungan dengan tuhan
yang semakin ditinggalkan. Bina keutuhan diri dan famili dengan Al-Quran
dan As Sunnah. Kenalkan diri kepada petunjuk Allah dan Rasul yang
membawa kebahagiaan.
* Peringatan buat hati yang tidak hangat dengan iman... Hati sayakah itu.... :-(