Air Dicincang Takkan Putus
Adik-beradik kita sebenarnya merupakan satu anugerah yang tidak 
terhingga. Bukan semua orang di atas dunia ini dapat memiliki 
adik-beradik. Namun, saban hari kita terdengar dan terlihat di dada 
akhbar kes-kes pergaduhan antara ahli keluarga, malahan ada yang sampai 
ke tahap memutuskan hubungan silaturrahim antara adik-beradik.
Jelas, semakin hari tindakan manusia bukan lagi didorong oleh syariat
 dan kasih sayang. Ada kala tindakan kita bertentangan dengan hukum 
Allah seperti dalam firmanNya yang bermaksud:
"Maka apakah
 ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi
 dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang 
dilaknati Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."
(Surah Muhammad, ayat 22-23)
(Surah Muhammad, ayat 22-23)
Usah kita lupa bahawa nikmat memiliki adik-beradik ini tidak lain 
hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT untuk seseorang 
hambanya. 
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah..."
(Surah al-Baqarah, ayat 284)
(Surah al-Baqarah, ayat 284)
Adik-beradik juga menjadi tempat bergantung antara satu sama lain 
setelah ketiadaan orang tua. Selalunya abang-abang dan kakak-kakak atau 
yang lebih tua akan mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya setelah 
ketiadaan orang tua. Apabila matinya seorang ayah bagi seorang anak 
perempuan, maka adik-beradik lelakinya akan menggalas tugas sebagai 
wali. 
Perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini 
ialah sifat kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Sebagai 
contoh, adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi 
tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan syariat Allah. Bahkan, 
wajib bagi seorang anak itu menjaga hati abang dan kakaknya dengan tutur
 kata yang baik dan juga dari segi perbuatannya. Setiap perbuatan yang 
mungkin menguris hati saudara kita akan menjadi titik permulaan sesuatu 
perbalahan justeru membawa kepada pepecahan.
Dan antara perkara penting dalam menghargai kurniaan Allah ini kepada
 kita ialah menjaga adab sesama adik-beradik. Andai kata ada perkara 
salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan 
cara yang berhikmah kerana dengan itu pihak yang ditegur akan merasa 
lebih selesa untuk menerima teguran, bahkan marasakan diri mereka lebih 
dihargai.
Sentiasalah kita memohon perlindungan daripada Allah daripada ancaman
 dan rancangan jahat syaitan yang seringkali cuba memecahbelahkan 
hubungan kekeluargaan yang sukar dibina oleh ibubapa kita. Wujudnya 
adik-beradik ini bukan sekadar menunjukkan kekuasaan Allah yang 
memberikan rahmat kepada kita, tetapi ia adalah tanda hasil usaha penat 
lelah kedua ibu bapa kita yang melahirkan serta bekerja keras untuk 
membesarkan kita semua. Percayalah, keberkatan yang dikurniakan Allah 
memalui hubungan silaturrahim akan membawa kepada terbukannya 
pintu-pintu rezeki. ''Barangsiapa yang ingin dimudahkan rezeki dan 
dipanjangkan usianya, hendaklah ia sentiasa menjaga silaturahim.'' 
(Hadis Riwayat Muslim)
Memang sukar bagi mereka yang hidup dalam keluarga yang ramai 
adik-beradik untuk menjaga keharmonian dalam keluarga, namun peranan 
menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah perlu untuk memastikan 
hubungan silaturrahim sentiasa berada dalam keadaan kukuh.
Walau apapun yang berlaku, jangan dilupa pepatah yang mengatakan 
hubungan adik-beradik ini umpama "air yang dicincang, tidak akan putus".
 Hargailah mereka kerana mereka juga darah daging kita sendiri.
Wallahu'alam.

 
     
    
No comments:
Post a Comment