Anak emasnya ialah adik lelaki saya yang lebih muda dua tahun daripada saya yang sering mendapat layanan istimewa. Mungkin kerana dia lebih pintar di sekolah, lebih segak dan kerap dipuji guru dan saudara-mara. Sikap bapa saya ini seringkali menimbulkan rasa cemburu dan iri hati di kalangan adik-beradik yang lain, termasuk saya sendiri. Saya berpendapat sikap pilih kasih adalah satu kesalahan mendidik anak dan tidak mahu mengulanginya dalam keluarga saya sendiri. Apakah pandangan Puan? Terima kasih. ~ Z
JAWAPAN.:  Waalaikumsalam Tuan Z. Tahniah kerana bakal menjadi seorang bapa.  Benar, pilih kasih adalah satu kesalahan dalam mendidik anak dan tidak  harus dipraktikkan dalam keluarga. Terdapat dua jenis pilih kasih:  KETARA dan TIDAK KETARA.
PILIH KASIH YANG KETARA
Pilih kasih yang ketara boleh dikenalpasti dengan mudah.
Contoh: Ibu bapa yang sangat  mementingkan pencapaian akademik mungkin terdorong untuk mengamalkan  pilih kasih yang ketara. Katalah anda mempunyai seorang anak yang sering  memperoleh pencapaian cemerlang. Anda gemar memuji anak ini, sering  membelikannya hadiah, manakala bakat dan pencapaian anak-anak yang lain  tidak dipedulikan.
Contoh: Ataupun anda mempunyai dua orang  anak perempuan dan merasakan yang seorang lebih cantik daripada yang  seorang lagi. Mungkin anda suka membeli pakaian yang lebih mahal untuk  anak yang anda rasakan lebih cantik itu.
PILIH KASIH YANG TIDAK KETARA
Pilih kasih yang tidak ketara lebih  sukar untuk dikesan. Kanak-kanak mempunyai daya pemerhatian yang tajam.  Nada suara, bahasa dan gerak-geri anda ketika berinteraksi dengan  seseorang anak itu akan diperhatikan oleh anak-anak yang lain. Kenapa  Ayah lebih mesra bila bercakap dengan adik? Kenapa Mak kelihatan lebih  ceria bila kakak balik dari sekolah? Bagi kanak-kanak, cara anda  memperlakukan mereka adalah satu ukuran sejauh mana anda menyayangi  mereka.
MEMBEZA-BEZAKAN ANAK
Seorang anak akan terasa tersinggung dan kecil hati jika dia dibandingkan dengan anak-anak yang lain.  Ungkapan seperti 
- "Mengapa Din tak boleh jadi macam Along?"; atau
- "Kak Nina tak akan sanggup buat begitu seperti kamu"; atau
- "Adik kamu dua tahun lebih muda daripada kamu tetapi dia lebih bertanggungjawab daripada kamu!"
Ini boleh merendahkan harga diri dan keyakinan seseorang anak.
Elakkan daripada membanding-bandingkan  anak anda dengan orang lain, tidak kira sama ada dengan adik-beradiknya  sendiri, sepupu atau kawan-kawannya. Apabila kita membuat perbandingan  sebegini, anak-anak menganggapnya sebagai satu ukuran harga diri mereka.
PERBANDINGAN YANG BERMANFAAT
Anda boleh membuat perbandingan hanya jika anda ingin merujuk kepada  pencapaian atau tingkah lakunya sebelum ini. Sebagai contoh, anda boleh  berkata:- "Terima kasih, Jun, kerana membuang sampah hari ini." (bermakna dia tidak membuang sampah semalam); atau
- "Hmm .. Penggal lepas Zin dapat C untuk subjek Geografi dan penggal ini pula dapat B. Ini satu peningkatan, Alhamdulillah."; atau
- "Ayah lihat Ina kemaskan sendiri barang-barang Ina di atas meja tu pagi tadi. Baguslah macam tu."
KEBURUKAN PILIH KASIH DAN MEMBEZA-BEZAKAN ANAK
Tabiat pilih kasih dan membeza-bezakan  anak-anak menonjolkan kelemahan seseorang anak sekaligus menonjolkan  kelebihan anak yang lain. Bila anda pilih kasih atau membezak-bezakan  anak-anak anda, anak yang kurang menyerlah itu akan merasa dirinya  kurang istimewa. Manakala anak yang sentiasa dipuji dan diraikan akan  merasa dirinya lebih istimewa dan lebih penting daripada orang lain.
Anda mungkin berfikir, dengan  membeza-bezakan anak-anak anda, anak yang tidak diberi layanan istimewa  akan lebih gigih untuk menyaingi orang lain. Tetapi ini tidak benar.  Tabiat ini hanya akan membuatkan seorang anak berfikir, "Saya tahu saya  tak akan boleh jadi seperti kakak. Jadi, buat apa saya susahkan diri nak  mencuba?"
Tabiat pilih kasih dan membeza-bezakan  anak-anak boleh membuatkan anak anda berasa kurang percaya pada dirinya  sendiri dan kurang yakin dengan kemampuannya sendiri. Ini boleh  menimbulkan perasaan dengki, cemburu, iri hati dan benci sesama  adik-beradik sendiri.
TANGANI ISU CEMBURU DAN IRI HATI ADIK-BERADIK
Sekiranya setiap anak anda merasakan  dirinya ada keistimewaan sendiri dan keistimewaan ini cukup bernilai  pada mata anda, kesemua anak anda akan lebih yakin dan bahagia serta  dapat bergaul tanpa rasa iri hati, cemburu dan benci. Perkelahian dan  berbalahan di antara mereka juga akan berkurangan. Hasilnya, fikiran  anda suami-isteri dan suasana di rumah akan menjadi lebih tenang dan  harmoni. Anda boleh mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani  isu cemburu dan iri hari di kalangan anak-anak anda dengan bersikap  adil.
SIKAP ADIL
Satu cara anak-anak menentukan sama ada  ibu bapa mereka bersikap adil adalah ketika mereka berkelahi. Apabila  anak-anak berkelahi, elakkan daripada menyebelah mana-mana pihak  serta-merta, walaupun pada ketika itu anda merasakan seorang anak memang  bersalah dan anda patut menegurnya.
Sebaliknya, nasihatilah mereka dengan  kata-kata seperti, "Ayah rasa tentu kamu boleh selesaikan masalah ini  dengan cara yang lebih baik." Selalunya, ini sudah memadai untuk  membuatkan mereka berhenti berbalah dan cuba untuk menyelesaikan  perbalahan itu dengan cara yang lebih baik.
BEBERAPA LANGKAH UNTUK MELERAIKAN PERBALAHAN
Berhati-hatilah kerana perbalahan       boleh bertukar menjadi satu perkelahian berbentuk fizikal seperti       menumbuk, menarik rambut, menendang dan sebagainya, terutamanya di       kalangan anak-anak lelaki. Jika ini terjadi, anda perlu masuk campur       serta-merta.
Perkelahian di antara anak-anak kecil       lebih mudah dileraikan berbanding anak-anak yang lebih besar.  Untuk  anak remaja mungkin lebih rumit      dan perlu dikendalikan dengan lebih  bijaksana.
Perebutan ruang peribadi satu isu      besar bagi anak belasan tahun. Perkelahian ini juga boleh menyebabkan      bebanan emosi.
Apa yang anda boleh lakukan ialah       dengan memainkan peranan sebagai orang tengah. Elakkan daripada       menyebelahi mana-mana pihak.
Satu cara yang boleh anda cuba ialah       dengan berbincang dengan kedua belah pihak secara berasingan terlebih       dahulu. Ini membolehkan masing-masing meluahkan perasaan dalam  situasi      terkawal dan lebih tenang. Anda juga boleh mendengar luahan  hati mereka      tanpa sebarang gangguan daripada ahli keluarga lain.
Ketika berbincang, dengarlah apa yang       diperkatakan oleh anak anda tanpa memberi sebarang komen terlebih  dahulu.      Elakkan daripada mencelah atau membuat interpretasi anda  sendiri yang      tidak perlu. Biarkan anak anda luahkan perasaannya  sepuas-puasnya.
Kemudian pastikan anda benar-benar       faham apa yang disuarakannya. Tanyakan soalan seperti, "Jadi, kamu marah       kerana ..."
Seterusnya, sampaikan      ketidakpuashatian anak ini kepada anak yang seorang lagi.
Dengarkan isi hati kedua-dua mereka       dengan adil. Tanyakan soalan-soalan yang mencetuskan empati seperti,       "Bagaimana perasaan Imah jika Angah lakukan perkara yang sama kepada  Imah?"Anda      mungkin akan diberi jawapan seperti: "Tapi itu yang dia  lakukan pada saya      dulu!" Jika ini berlaku, katakan yang anda faham  bahawa dia marah, tetapi      tekankan betapa pentingnya sikap saling  memaafkan antara satu sama lain      dan mengambil iktibar daripada  perselisihan faham tersebut.
Perbincangan yang efektif akan       membuatkan semua pihak gembira dan lega. Jika anda berjaya meleraikan       ketegangan tersebut dengan baik, kedua-dua anak anda yang bertelagah  akan      lebih mempercayai dan menghormati anda.
KESIMPULAN
Ingatlah: Bersikap adil TIDAK bermakna  memberikan sesuatu kepada setiap anak dalam kuantiti yang sama. Bersikap  adil bermakna memberi setiap anak apa yang wajar diperolehinya. Setiap  anak adalah individu yang unik dan memiliki kualiti, keperluan dan bakat  yang istimewa. Inilah yang harus diakui oleh setiap ibu bapa dengan  sebaiknya. Masalah iri hati, cemburu dan dengki mendengki di kalangan  anak-anak tidak seharusnya dibiarkan dalam sebarang keluarga. Jika ibu  bapa bijak memainkan peranan, sikap-sikap negatif ini tidak akan menular  dalam keluarga. Sebaliknya, kemesraan dan sikap tolong-menolong akan  mendapat tempat dan hidup subur di hati setiap anak anda. Wallahua'lam
 
No comments:
Post a Comment