Friday, June 20, 2008

Memperkukuhkan Institusi Perkahwinan

aku amik dlm metro....


PERKAHWINAN adalah kemuncak segalanya serta menjadi detik paling bersejarah dalam diari kehidupan seseorang.


Adalah menjadi impian dan cita-cita pasangan berkahwin agar kebahagiaan, keseronokan dan kepuasan berumah tangga yang dibina bersama kekal dan segar sehingga ke akhir hayat.

Perkahwinan juga adalah paduan dan adunan kasih sayang, pengorbanan, harapan, wawasan, perancangan dan toleransi yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah keluarga bahagia.

Namun begitu, tidak semua perkahwinan berakhir dengan episod dan cerita gembira, tetapi kadangkala penuh dengan luka lara dan nestapa.

Bak kata pepatah ‘disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’ yang membawa kepada sesebuah perkahwinan berakhir dengan perceraian.

Perceraian, walaupun dibenarkan, jika sesebuah keluarga yang dibentuk sudah tidak dapat diselamatkan lagi umpama kapal karam, perlu dielakkan memandangkan ia mampu meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat dalam jangka masa panjang apabila unit penting dalam struktur masyarakat roboh.

Dilaporkan dalam tempoh sejam, lebih daripada dua perceraian dan 14 perkahwinan membabitkan pasangan beragama Islam berlaku di Malaysia.

Bagi tempoh sehari pula, lebih daripada 56 perceraian dan 359 perkahwinan berlangsung. Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), angka itu adalah purata bilangan perceraian dan perkahwinan yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Jumlah perceraian sepanjang tahun lalu adalah 20,529 manakala perkahwinan pula 131,086, kedua-duanya meningkat berbanding 2006.

Selangor mencatatkan bilangan perceraian tertinggi iaitu sebanyak 3,722 diikuti Kelantan (2,257), Kedah (2,188), Johor (1,931), Perak (1,551) dan Terengganu (1,537). Pahang pula mencatatkan sebanyak 1,502 perceraian, Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37).

Peningkatan jumlah perceraian ini sangat membimbangkan semua pihak kerana memberikan imej dan persepsi tidak baik kepada institusi keluarga dan tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan institusi perkahwinan di negara ini.

Oleh yang demikian, langkah untuk mengurangkan bilangan berkenaan perlu dilakukan segera serta diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab dalam hal terbabit.

Perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah kerana berkait rapat dengan keharmonian dan kerukunan dalam masyarakat.

Antara alasan dan penyebab yang sering diberikan kepada berlakunya krisis keretakan rumah tangga dan perceraian adalah ketiadaan persefahaman antara suami dan isteri, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan dan kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, campur tangan pihak ketiga dalam hubungan suami isteri, masalah hutang banyak, pengangguran dan peluang kerja terhad, komitmen kerja dan kerjaya yang tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral serta ilmu kekeluargaan.

Turut dilaporkan Kedah mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi iaitu sebanyak 20,889 diikuti Kelantan (17,201), Selangor (14,817), Johor (13,241) dan Perak (11,446). Sabah merekodkan sebanyak 9,941 bilangan perkahwinan, Pahang (9,519), Terengganu (8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486).

Dalam pada itu, bilangan perceraian yang dilaporkan di seluruh negara pada 2006 adalah 19,463 manakala perkahwinan 114,812. Semua negeri kecuali Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak mencatatkan peningkatan bilangan perceraian manakala hanya Kuala Lumpur dan Sarawak merekodkan penurunan bilangan perkahwinan.

Berdasarkan statistik Jakim, purata jumlah perceraian yang dilaporkan pada tahun lalu ialah 1,931 kes manakala perkahwinan pula 13,241 kes. Angka itu meletakkan Johor sebagai negeri keempat tertinggi dari segi bilangan perceraian dan perkahwinan di negara ini.

Selain itu, terdapat peningkatan jumlah bagi kedua-duanya berbanding 2006 yang mencatatkan sebanyak 1,647 kes perceraian dan 11,943 perkahwinan di Johor.

Kebanyakan kes perceraian berlaku kerana pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan berumah tangga, termasuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin. Sebaliknya, mereka didapati berkahwin hanya kerana dorongan nafsu semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab besar sebagai suami, isteri, bapa dan ibu bagi mewujudkan keluarga bahagia.

Faktor ekonomi juga kini menjadi cabaran besar bagi sesetengah pasangan suami isteri yang mana kemampuan kewangan turut memainkan peranan penting dalam menentukan kestabilan rumah tangga lebih-lebih lagi dalam keadaan kenaikan minyak dan barangan makanan pada hari ini.

Dalam keadaan dunia hari ini yang segalanya memerlukan wang, maka tekanan kewangan dan ekonomi yang berlaku ketika ini sangat membebankan.

Dalam hal ini, suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan anak. Pasangannya juga wajar berbelanja berdasarkan kemampuan suami.

Disebabkan tuntutan ekonomi juga, ramai isteri terpaksa bekerja menyebabkan masa yang terluang untuk keluarga menjadi lebih terhad dan ini boleh mengundang ketidakstabilan rumah tangga sekali gus boleh menjurus kepada perceraian.

Perceraian juga hanya akan menimbulkan tekanan dan konflik rumah tangga yang lebih serius di mana anak akan menjadi mangsa keadaan.

Isteri yang diceraikan pula terpaksa menanggung segala-galanya dan sudah tentu meletakkan beban tidak sepatutnya kepada mereka. Ada terpaksa membayar hutang yang dibuat suami dan membesarkan anak yang ramai sendirian.

Psikologi dan emosi anak yang dalam proses tumbesaran akan turut terganggu serta boleh merosakkan dan menggelapkan masa hadapan mereka jika pasangan bercerai langsung tidak mengambil peduli terhadap anak yang ditinggalkan.

Dalam jangka masa panjang anak mungkin akan memberontak dan membalas dendam terhadap ibu bapa mereka. Anak juga akan hilang rasa hormat kepada ibu bapa dan cuba mencari keseronokan serta kebebasan di luar serta bergaul dengan orang yang rendah moral.

Mereka juga boleh terbabit dengan aktiviti seperti penagihan dadah, pelacuran, samseng, Mat Rempit jika tidak diberikan perhatian, kasih sayang dan pembelaan sewajarnya.

Justeru, perlu ada tolak ansur dan persefahaman di kalangan suami isteri bagi menyeimbangkan komitmen antara keluarga dan kerjaya supaya keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan hingga ke akhir hayat.

Suami isteri perlu mempunyai perancangan kewangan keluarga bagi memastikan setiap perbelanjaan terkawal dan mencukupi tanpa berlaku pembaziran serta ketidakstabilan ekonomi keluarga.

No comments: